BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seramai 14 penunggang motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Kilometer (KM) 131, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sama Gagah, di sini, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata pihaknya turut menyita 20 motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama empat jam yang bermula kira-kira 12 tengah malam tadi.
“Dalam operasi itu, seramai 60 penunggang motosikal telah ditahan untuk pemeriksaan sebelum menahan 14 daripada mereka yang berusia 20 hingga 30-an manakala 20 buah motosikal turut disita,“ katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mereka yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melawan arus, berlumba berkumpulan dan menunggang motosikal dalam keadaan membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Helmi berkata polis turut mengeluar 100 saman kerana pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan mat rempit di kawasan tersebut.