Loke: Pengendali terminal bas di Semenanjung wajib mohon lesen terminal

Loke: Pengendali terminal bas di Semenanjung wajib mohon lesen terminal

SEPANG: Semua 169 terminal bas di Semenanjung Malaysia sama ada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta diwajibkan memohon lesen terminal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelesenan terminal adalah penting bagi penyeragaman kawal selia dalam memastikan kemudahan, keselamatan dan tahap perkhidmatan terminal pengangkutan sentiasa berada di tahap terbaik.

Beliau berkata kerajaan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pelesenan Terminal) (Stesen dan Pusat Pengangkutan) 2024 pada 5 Feb lepas, bagi melesenkan semua 169 terminal pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia.

“Kebanyakan terminal itu dikendalikan oleh PBT, tetapi trend sekarang ini banyak juga terminal-terminal dikendalikan pihak swasta yang telah pun dinaik taraf dengan baik. Jadi kita alu-alukan pihak swasta untuk melabur, tetapi mereka mesti memohon lesen dari APAD untuk beroperasi,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Hab Pengangkutan Dinaik Taraf di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pengendali-pengendali terminal boleh memohon lesen berkenaan bermula 22 April ini melalui sistem pelesenan atas talian iSPKP APAD.

Selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], Loke berkata Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menguatkuasakan pelesenan terminal bagi memastikan pengoperasian di seluruh negara dapat dikawal selia.

“Pewartaan ini mewajibkan semua terminal bas di Semenanjung untuk mempunyai lesen terminal APAD untuk beroperasi. Masa untuk proses permohonan lesen adalah tiga minggu, apabila mereka mohon, APAD akan turun ke lokasi untuk melihat terminal berkenaan,” katanya.

Beliau berkata APAD turut memperkenalkan penarafan mengikut gred A, B atau C yang menentukan tahap perkhidmatan adalah setimpal dengan caj maksima yang dikenakan oleh pihak terminal.

Penarafan gred adalah berasaskan tahap kemudahan terminal merangkumi tiket dan kaunter informasi, keselamatan, keselesaan kepada orang ramai dan pemandu selain kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) yang merupakan salah satu syarat wajib bagi penarafan terminal gred A.

“Sekarang ini apabila adanya pelesenan terminal, kita ada satu kerangka piawaian, kalau mereka tidak mencapai piawaian itu, mereka tidak boleh kutip caj yang lebih tinggi. Caj-caj ini ada jadualnya, jadi kita hendak pastikan caj yang dibayar oleh penumpang mesti setimpal dengan perkhidmatan yang mereka terima,” katanya.

Loke berkata APAD juga telah menjalankan audit awal di terminal-terminal utama negeri untuk mengenal pasti tahap kemudahan.

“Hasil daripada audit yang dijalankan, hab pengangkutan awam KLIA Terminal 2 ini adalah contoh terminal yang layak untuk mendapat penarafan gred A,” katanya. -Bernama

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *