Pemandu, kelindan treler ditahan disyaki seludup lebih 20,000 rokok

Pemandu, kelindan treler ditahan disyaki seludup lebih 20,000 rokok

KOTA BHARU: Polis merampas 27,350 karton rokok disyaki diseludup dan sebuah treler yang keseluruhannya dianggar bernilai RM10 juta dengan penahanan pemandu dan kelindan treler itu di Jalan Sultan Ismail, Langgar, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya mengekori kenderaan itu susulan sepasukan polis mengesan sebuah bot mencurigakan memasuki perairan Tumpat, kira-kira 4 petang.

Beliau berkata bot berkenaan didapati sedang memunggah barang dan memasukkan sejumlah kotak di dalam sebuah treler yang membawa muatan kontena.

“Hasil intipan, polis mengekori treler berkenaan dari arah Wakaf Bharu, Tumpat menghala ke Kota Bharu. Susulan itu, sepasukan polis menahan treler berkenaan di Jalan Sultan Ismail, Langgar,” katanya pada sidang media di Pondok Polis Peringat di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki pemeriksaan mendapati dua lelaki yang merupakan pemandu dan kelindan treler itu membawa muatan mengandungi rokok yang dipercayai belum dibayar cukai kastam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan kesemua rokok jenama Double Happiness itu dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Polis turut merampas tiga borang Arahan Penghantaran dan tiga telefon bimbit manakala dua lelaki berserta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya.

“Kedua-dua lelaki itu tiada sebarang rekod jenayah lampau dan mereka direman hingga Selasa ini untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *