LOS ANGELES: Gerhana matahari penuh merentasi benua Amerika Utara pada Isnin, menyaksikan penduduk dan pelawat berkumpul di lokasi berbeza di laluan gerhana itu untuk melihat fenomena berkenaan, lapor Xinhua.
Gerhana matahari penuh – yang digelar sebagai “Great North American Eclipse” kerana laluannya yang panjang merentasi Amerika Utara – kelihatan di langit di bahagian Mexico, 15 negeri Amerika Syarikat (AS) dan timur Kanada.
Bandar Mazatlán di Mexico adalah lokasi pertama yang menyaksikan gerhana matahari penuh ketika ia muncul di Lautan Pasifik pada Isnin.
Gerhana matahari penuh dapat dilihat di Mazatlán pada 11:07 pagi waktu Pasifik dan berlangsung lebih sedikit dari empat minit.
Laluan gerhana itu berterusan dari Mexico, memasuki AS di Texas dan melalui Oklahoma, Arkansas, Missouri, Illinois, Kentucky, Indiana, Ohio, Pennsylvania, New York, Vermont, New Hampshire dan Maine. Sebahagian kecil Tennessee dan Michigan juga boleh mengalami gerhana matahari penuh, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan AS (NASA).
Bandar-bandar di negeri Maine akan menjadi lokasi terakhir di AS untuk mengalami gerhana matahari penuh, menurut siaran langsung NASA.
Gerhana itu memasuki Kanada di Ontario Selatan dan berterusan melintasi Quebec, New Brunswick, Pulau Prince Edward dan Cape Breton. Gerhana itu keluar dari benua Amerika Utara di pantai Atlantik Newfoundland, Kanada, pada 5.16 petang waktu siang Newfoundland, menurut NASA.
Gerhana kini telah berakhir untuk semua kawasan daratan.
Walaupun sesetengah tempat mempunyai awan yang menyekat pandangan penuh, orang ramai masih teruja dan bersorak melihat langat petang bergelap seketika.
Gerhana matahari penuh berlaku apabila matahari dilindungi sebentar oleh bulan yang berada pada kedudukan selari dengan bumi. Langit akan gelap seolah-olah subuh atau senja.
Banyak bandar di laluan itu menganjurkan acara tontonan awam dan memberikan cermin mata keselamatan gerhana. Di beberapa zoo, penyelidik menyertai orang ramai untuk melihat bagaimana tingkah laku haiwan.
Selepas gerhana matahari penuh pada Isnin, fenomena yang sama seterusnya boleh dilihat di AS pada 23 Ogos 2044, menurut NASA.-Bernama