10,000 rakyat berbilang kaum meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Pulau Pinang

10,000 rakyat berbilang kaum meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Pulau Pinang

KEPALA BATAS: Kira-kira 10,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Dewan Millenium di sini hari ini.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Pelbagai juadah seperti sate, ketupat, lemang, rendang, laksa dan pasembor dihidangkan kepada tetamu menerusi gerai-gerai disediakan selain majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh artis tempatan negeri itu.

Orang ramai dilihat mula berkumpul sejak 1 tengah hari meskipun sambutan bermula pukul 3 petang.

Chow dalam ucapannya berkata sambutan Aidilfitri telah terbukti mampu membawa makna yang signifikan bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga masyarakat majmuk di negeri ini dan menegaskan kerajaan negeri sentiasa menjaga kehormatan institusi agama Islam, selain memastikan kesejahteraan dalam masyarakat secara menyeluruh.

“Sebanyak RM10.18 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi tujuan pembinaan, penambahbaikan dan ubah suai masjid serta surau di seluruh Pulau Pinang. Usaha mengembangkan pendidikan di institusi agama juga akan diteruskan dengan kerja-kerja pembinaan dan baik pulih bangunan sekolah agama dengan peruntukan sejumlah RM7.4 juta tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Chow turut mengajak rakyat negeri ini untuk turut sama pada Program MADANI Rakyat Zon Utara yang akan berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mei ini.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *