PAS sambut baik penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang

PAS sambut baik penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang

KOTA BHARU: PAS menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang pada dasarnya menyatakan persetujuan untuk mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) bagaimanapun berkata pihaknya akan meneliti Memorandum Persefahaman (MoU), yang dikatakan akan diberikan kepada Ahli Parlimen terbabit.

“Kita menyambut baik keputusan itu, namun akan meneliti kandungan memorandum persefahaman berkenaan terlebih dahulu. Peruntukan itu juga diharap dapat diselaraskan dengan semua negeri dalam keadaan sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berharap keputusan berkenaan, akan mengembalikan fungsi semak dan imbang pembangkang yang lebih efektif, untuk membangunkan negara.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sehubungan itu, satu draf MoU akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *