Kes demam denggi menurun pada ME15, satu kematian dilaporkan

Kes demam denggi menurun pada ME15, satu kematian dilaporkan

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 1,698 kes pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME15) iaitu dari 7 April hingga 13 April lepas berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME15.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME15 adalah sebanyak 48,329 kes berbanding 33,325 kes bagi tempoh sama 2023.

“Sementara 35 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 21 kematian bagi tempoh sama pada 2023,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME15 adalah sebanyak 107 lokaliti berbanding 119 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata dari 107 lokaliti itu, 87 adalah di Selangor, sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat di Pulau Pinang, dua di Kedah dan masing-masing satu di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.

Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata terdapat dua kes direkodkan pada ME15.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes dan terdapat satu wabak Chikungunya masih aktif pada ME15.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata sebanyak 740 sampel darah dan empat sampel urin telah menjalani saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

“Peningkatan pergerakan disebabkan aktiviti kunjung mengunjung serta rumah terbuka sepanjang Aidilfitri akan meningkatkan risiko jangkitan terutama di lokaliti yang mempunyai kepadatan nyamuk Aedes tinggi apabila terdapat banyak tempat pembiakan di persekitaran,“ katanya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *