Sultan Selangor berkenan rasmi Kompleks LakePoint, tarikan baharu S P Setia

Sultan Selangor berkenan rasmi Kompleks LakePoint, tarikan baharu S P Setia

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Kompleks LakePoint, satu tarikan baharu S P Setia Bhd (S P Setia) di Setia AlamImpian di sini, pada Sabtu.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda berkenan merasmikan kompleks yang meliputi sebahagian daripada perbandaran Setia AlamImpian yang dijangka menarik kira-kira 10,000 hingga 12,000 pengunjung setiap bulan.

Baginda berdua juga berkenan dibawa meninjau sekitar Kompleks LakePoint selepas menyempurnakan perasmian itu.

Pengerusi S P Setia Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata Kompleks LakePoint merangkumi LakePoint Central (pusat runcit), LakePoint Club (rumah kelab) dan LakePoint Gallerie (galeri jualan dan pejabat) terletak bersebelahan dengan LakePoint Park iaitu taman tasik berkeluasan 12.54 hektar, dengan landskap serta infrastruktur yang dipertingkatkan.

“Kompleks LakePoint bersedia untuk menjadi permata mahkota perbandaran pelan induk seluas 499.78 hektar di Setia AlamImpian di Shah Alam.

“S P Setia yakin kompleks ini akan mengukuhkan kedudukan Setia AlamImpian sebagai antara alamat berprestij di Lembah Klang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian itu.

Perbandaran pegangan bebas Setia AlamImpian itu telah dilancarkan pada November 2006 oleh I&P Group Sdn Bhd sebagai AlamImpian sebelum penggabungan I&P Group dengan S P Setia pada 2017 dan terus berkembang dengan mencatatkan prestasi jualan yang baik.

Setia AlamImpian mempunyai nilai pembangunan kasar berjumlah RM8.2 bilion, terdiri daripada tujuh kawasan landskap bertema seni — Seni Persembahan, Seni Halus, Seni Muzik, Seni Digital, Seni Sinematik, Seni Industri dan Seni Minimalis.

Perbandaran tersebut akan mempunyai presint premium dengan rumah unit berkembar dan banglo yang masing-masing akan dilancarkan pada suku keempat 2024 dan 2025.

Apabila siap sepenuhnya pada 2036, perbandaran tersebut akan mencecah hampir 80,000 penduduk yang akan menghuni 20,000 unit kediaman.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *