Johor cadang tambah gerabak KTMB JB Sentral – MB

Johor cadang tambah gerabak KTMB JB Sentral – MB

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan untuk menambah bilangan gerabak Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Johor Bahru Sentral (JB Sentral) dalam usaha melancarkan pergerakan keluar masuk pengembara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

“Sekurang-kurangnya penambahan daripada empat gerabak (ketika ini) kepada lima gerabak. Setiap gerabak mampu menampung 80 penumpang bagi setiap perjalanan.

“Bermakna akan terdapat pertambahan sebanyak 2,480 penumpang setiap hari jika ia diluluskan,” kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika menjawab soalan lisan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Liow ingin tahu mengenai usaha kerajaan dalam memudahkan pergerakan keluar masuk pengembara di kedua-dua pintu masuk laluan darat antara Malaysia dan Singapura.

Onn Hafiz berkata antara langkah lain yang dicadangkan untuk melancarkan pergerakan keluar masuk pengembara di Kompleks CIQ BSI ialah penambahan hingga 44 lorong motosikal serta penggunaan kod QR bagi penumpang bas dan motosikal.

Beliau berkata bagi Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini pula, langkah-langkah yang dicadangkan termasuk projek penggabungan dewan penumpang bas, penambahan hingga 33 lorong motosikal serta penggunaan kod QR untuk penumpang bas dan motosikal.

“Saya sedar dan insaf bahawa ramai tidak senang dengan kehadiran saya di pintu-pintu masuk utama negara ini. Ramai tidak suka dengan lawatan-lawatan mengejut saya. Namun, percayalah saya tidak akan berhenti selagi isu legasi yang menghantui rakyat di negeri dan negara ini tidak diselesaikan.

“Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan Imigresen Johor yang baharu, kita akan dapat menyelesaikan isu melibatkan 250,000 penduduk negeri ini yang berhempas-pulas mencari rezeki berulang-alik ke Singapura setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz memaklumkan pergerakan keluar masuk antara sempadan Johor dan Singapura bukanlah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya kuasa kerajaan Persekutuan.

“Namun, kerajaan negeri terlibat dalam Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri. Malah, Johor merupakan ahli tetap dalam jawatankuasa ini dan saya sering berhubung dengan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bagi membantu menyelesaikan isu-isu kesesakan harian yang berlaku di sana,” katanya.

Pada Khamis lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dilapor bertitah isu kesesakan yang kerap dilaporkan berlaku di Kompleks CIQ BSI dan KSAB perlu diselesaikan tanpa kompromi memandangkan kedua-dua kompleks itu merupakan aset penting kepada pembangunan ekonomi negeri.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *