Bekas pengerusi syarikat didakwa subahat guna dokumen palsu

Bekas pengerusi syarikat didakwa subahat guna dokumen palsu

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi syarikat pengeluar getah, GIIB Holdings Berhad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan mengarahkan setiausaha syarikatnya untuk menggunakan penyata kewangan palsu, Mei tahun lepas.

Tai Boon Wee, 64, didakwa secara tidak jujur mengarahkan Mak Chooi Peng, 54, menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Interim Financial Statement for the Period Ended 31st March 2023 (3rd Quarter)’ bagi syarikat GIIB Holdings Berhad sebagai tulen yang mana kesalahan tersebut telah dilakukan hasil persubahatannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Mei tahun lalu di Pejabat Bursa Malaysia Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Tai sepatutnya dituduh lebih awal tetapi beliau sering berada di luar negara dan sukar bagi pihak pendakwaan untuk mengetahui keberadaannya, oleh itu kami merasakan beliau adalah seorang yang berisiko untuk melarikan diri. Mohon syarat tambahan berkenaan pasport dibenarkan,“ katanya.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan selain pendapatan dan saham syarikatnya dalam pasaran turut terjejas teruk sepanjang dua tahun beliau disiasat,“ katanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain menetapkan 5 Julai untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 13 Januari tahun lalu, Tai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.

Bagaimanapun, pada 24 Oktober tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini telah membebaskan Tai daripada pertuduhan tersebut selepas membenarkan permohonan tertuduh untuk mengetepikan kesemua pertuduhan berkenaan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *