Bukan setakat juara media sosial, PH perlu tahu ‘keresahan’ anak muda, kata Amirudin

Amirudin Shari berkata beliau sendiri pernah melalui fasa menjadi pembangkang dan antikerajaan disebabkan pemerintah ketika itu gagal memahami keresahan rakyat.

BANGI: Pasukan pemikir dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mengenal pasti ‘keresahan’ sebenar rakyat, khususnya anak muda dalam usaha menarik perhatian golongan itu yang dikatakan cenderung kepada pembangkang, kata Amirudin Shari.

Pengerusi PH Selangor berkata, jika keresahan itu dapat ditangani gabungan tersebut mampu menikmati sokongan anak muda tanpa mengira medium dan aplikasi digunakan.

Katanya, perkara utama perlu ditangani ialah memahami kandungan mengenai keresahan atau keutamaan dalam kalangan anak muda.

“Bukan masalah alat, atau ‘vehicle’, ia bukan isu TikTok, Instagram, sebab selepas PRU saya percaya aktivis sosial media PH juga aktif dalam jalur itu.

“Jadi kalau kita menggunakan alat apa sekalipun kita ‘address’ benda yang betul ia akan dapat tarik perhatian,” katanya kata menteri besar Selangor selepas majlis perasmian hab warisan digital di Istana Puteri Bongsu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Amirudin berkata, beliau sendiri pernah melalui fasa menjadi pembangkang dan antikerajaan disebabkan pemerintah ketika itu gagal memahami keresahan dihadapi rakyat.

“Kita pernah lalui zaman itu, saya pernah jadi orang antikerajaan dalam pada itu kita tahu resahnya, kerajaan ketika itu gagal ‘address’ keresahan itu.

“Kerajaan Madani sekarang harus mengetahui keresahan itu supaya dapat ‘address the real issue’, bukan hanya ikut tapi menjelaskan serta memahami dari sudut pandang kita, itu yang kena diperhatikan pasukan pemikir PH dan pimpinan supaya kita dapat menangani isu dan keresahan sebenar masyarakat,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan kenyataan sebuah NGO bahawa gelombang besar-besaran peralihan sokongan anak muda kepada PN ketika ini boleh berubah kepada PH jika kerajaan mendekati golongan terbabit dengan efektif menerusi media sosial.

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata PH perlu memperbaiki naratif untuk anak muda, dengan ‘menangkap imaginasi’ mereka menerusi media baharu, merujuk sikap kumpulan itu yang mempunyai tahap kesetiaan politik rendah.

Terdahulu Institut Darul Ehsan (IDE) merumuskan, walaupun calon PH menang di PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei lalu, PN masih mendapat sokongan kumpulan pengundi muda yang tinggi berbanding kerajaan perpaduan.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *