Dasar pengambilan pelajar ke UiTM kekal, kata naib canselor

UiTM adalah satu-satunya universiti menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama IJN dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengekalkan dasar pengambilan pelajar sedia ada susulan gesaan agar institusi pendidikan tinggi itu menerima sementara pelatih bukan Bumiputera dalam program ijazah lanjutan pembedahan kardiotoraksnya.

Naib Canselor Shahrin Sahib berkata, tiada sebarang perbincangan atau cadangan mengenai perubahan dasar itu dalam mana-mana mesyuarat Senat UiTM mahupun Mesyuarat Eksekutif Universiti.

“UiTM akan terus berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta UiTM yang menyatakan UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“UiTM komited untuk terus menjadi institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan Bumiputera melalui peluang pendidikan berkualiti, sejajar dengan peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan UiTM sedia menerima ‘sementara’ pelatih bukan Bumiputera dalam program pembedahan kardiotoraksnya.

Dr Raja Amin Raja Mokhtar daripada Fakulti Perubatan UiTM mencadangkan langkah itu sebagai penyelesaian kepada beberapa kes kelayakan pelatih tidak diiktiraf.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran atau ‘parallel pathway’ itu kepada bukan Bumiputera.

UiTM adalah satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *